Tuesday 8 December 2015

Novel Ney Joehan : Manik Merah Jambu


Tajuk :  Siri Usahawan Cilik : Manik Merah Jambu
Penulis :  Ney Joehan
ISBN:978-967-5226-67-0
Penerbit: PTS Pop Sdn Bhd
Tahun: 2012 (Terbitan kelima)
Halaman:194
Harga : RM15.00 (SM)/ RM17.00 (SS)


Dua remaja sebaya tetapi mempunyai latar belakang yang berbeza. Meeya, si gadis manis yang mempunyai segalanya. Aishah pula seorang gadis anak pembantu rumah Meeya. Walaupun berbeza latar belakang, mereka mempunyai minat yang sama iaitu rekaan fesyen. 


Minat yang sama memberi idea kepada Meeya untuk menjalankan perniagaan pakaian terpakai. Kemahiran Aishah menjahit manik-manik digunakan sepenuhnya oleh mereka berdua. 

Meeya yang menuntut di sekolah antarabangsa menunjukkan katalog pakaiannya kepada tiga orang rakannya. Ketiga-tiga rakannya itu mempunyai agenda tersendiri berkawan dengan Meeya.  Di sekolah Aishah pula Karnival Usahawan akan diadakan dan Aishah berminat untuk membuka gerai mini. Cadangan Aishah dipandang rendah oleh kumpulan BRAT yang diketuai oleh Nina. Ogy, rakan sekelas Aishah yang berwatak pelik menyokong niat Aishah. Malah, dia menawarkan diri menjadi pembantu Aishah. 

Banyak rintangan yang perlu dihadapi oleh Aishah dan Meeya untuk membuka gerai mini menjual pakaian terpakai. Sikap ibu Meeya yang tidak menyukainya rapat dengan Aishah, rancangan jahat BRAT, dan tindakan kawan sekelas Meeya yang seperti gunting dalam lipatan. 

Bagi saya penulis telah berjaya menerapkan sikap tidak mudah berputus asa dan kreatif dalam cerita ini. Apatah lagi, novel ini ialah siri usahawan cilik yang pastinya memberi inspirasi kepada golongan usahawan remaja. Selain itu, semangat setiakawan juga amat penting dalam memastikan kejayaan bersama. Ya, saya rekomenkan buku ini untuk bacaan golongan remaja. Buku ini saya berikan 4 bintang.

No comments:

Post a Comment